Thursday, July 30, 2009

PERSONALITI MENURUT ISLAM

Personaliti berasal daripada kata Inggeris personality yang membawa makna whole nature of character of person dan distinctive attractive charactaristics in a person. Manakala dalam bahasa melayu ia dikenali sebagai personaliti atau sahsiah atau keperibadian. Kedua-dua pengertian dalam bahasa Inggeris di atas memberi isyarat bahawa personality mengikut bahasa inggeris mengandungi makna perlakuan yang menjadi tab’ei atau kebiasaan dilakukan oleh seseorang sebagaimana ia juga memberi makna perlakuan-perlakuan menarik yang ada pada seseorang (A.H ohn: 1991). Dua makna yang terbit daripada pengertian personaliti mengikut bahasa inggeris ialah perlakuan yang menjadi kebiasaan dan perlakuan menarik yang ada pada seseorang

Personaliti disebut juga dalam bahasa melayu sebagai keperibadian dan sahsiah. Keperibadian diertikan sebagai ciri, sifat atau bentuk perlakuan yang biasa dipamirkan oleh seseorang. Manakala sahsiah pula berasal daripada perkataan arab syakhsiyah yang membawa beberapa pengertian. Jamil Saliba (1971) menghuraikan erti syahkhsiyah sebagai gambaran bagi seseorang individu dan sejumlah sifat-sifat jasmani, perasaan, keinginan pemikiran yang menjadi penentu dalam membentuk keperibadian seseorang dan membezakannya dengan orang lain. Sifat-sifat ini boleh jadi memang sedia ada di dalam diri seseorang atau boleh jadi wujud pada seseorang hasil daripada pengaruh atau kesan daripada alam sekeliling yang ada pada seseorang.

Menurut Jairat Jahami (1998) pula menjelaskan syakhsiyah dalam bahasa arab membawa makna segala perkara yang boleh membezakan seseorang dengan orang lain dan perkara itu pula dapat dikesan dengan salah satu atau lebih pancaindera. Perkataan syakhsiyah menurut beliau juga membawa makna gambaran keadaan seseorang.

Pengertian syakhsiyah yang diberika oleh kedua-dua ahli bahasan dan falsafah ini lebih kurang sama dengan pengertian persolanaliti yang diberikan oleh A.H John dalam bahasa Inggeris. Sedikit perbezaan antara pengertian syakhsiyah dan personality ialah syakhsiyah dalam bahasa arab merangkumkan sifat-sifat kerohanian sebagai salah satu pengertian syahksiyah. Sebaliknya pengertian dalam bahasa inggeris tidak menyebutnya.
Manakala dari istilah dakwah atau pendidikan Islam pula syakhsiyah diertikan sebagai akhlak seseorang terhadap Allah, diri sendiri, anak-anak, isteri, keluarga, masyarakat dan alam seluruhnya yang dipaparkan ketika berlaku interaksi antara kedua belah pihak (Al-Hasyimi, 1981). Al-Ghazali (1982) juga membawa pendekatan yang sama dalam memberikan pengertian kepada syakhsiyah iaitu merangkumkan sifat-sifat dalaman dan perlakuan luaran samada terhadap Allah, sesama manusia atau dengan alam seluruhnya. Beliau juga turut menyimpulkan bahawa syakhsiyah sebagai akhlak yang sebati pada seseorang. Dalam memperkenalkan akhlak pula Al-Ghazali dalam Ihya Ulumuddin telah menyatakan bahawa ia adalah ungkapan bagi satu sifat yang kukuh di dalam diri seseorang insan yang melahirkan sesuatu perbuatan dengan mudah tanpa perlu berfikir terlebih dahulu. Sekiranya sifat dalam jiwa ini melahirkan perbuatan-perbuatan yang indah dari segi akal dan syarak maka sifat ini dinamakan dengan akhlak yang baik. Sekiranya yang dilahirkan adalah perbutan-perbuatan yang keji maka sifat ini dinamakan sebagai akhlak yang buruk (jilid 3 hlm. 53). Dalam takrifan yang diberikan al-Ghazali lebih menumpukan akhlak kepada sifat dalaman yang menjadi asas kepada lahirnya seseuatu perbuata atau tingkah laku.

Manakala sebahagian pemikir Islam pula cenderung memberikan pengertian akhlak sebagai satu ungkapan kepada dasar-dasar dan asas-asas yang mengatur tingkah laku manusia yang telah ditetapkan oleh wahyu bagi mengatur kehidupan manusia menepati matlamat penciptaanya di alam ini secara sempurna (Miqdad Yaljan, 1973). Dalam memperincikan huraian tentang akhlak Miqdad menyatakan bahawa akhlak terbahagi kepada dua kategori besar. Kategori pertama ialah akhlak yang telah diperincikan oleh wahyu. Peranan manusia hanyalah melaksanakan sepenuhnya akhlak ini dengan hati, rohani dan keinginan yang ikhlas kerana Allah dalam bentuk tingkah laku lahiriah. Kategori kedua pula ialah akhlak yang disebut oleh wahyu secara umum dan manusia memainkan peranan dalam perincian perlaksanaannya mengikut kesesusian dengan syarat natijahnya hendaklah mendatangkan kebaikan kepada manusia.

Dasar-dasar akhlak dalam islam bukanlah sebahagian daripada sistem-sistem yang ada dalam Islam seperti sistem kerohanian, sistem sosial, sistem kekeluargaan, sistem ekonomi sistem perundangan dan sistem pemerintahan. Malah akhlak adalah satu sistem yang menaungi keseluruhan sistem-sistem tersebut. Ini bermakna semua sistem yang terdapat dalam Islam adalah didasari oleh asas-asas akhlak. Ini menepati nas-nas yang menyentuh tentang akhlak. Antaranya ialah sabda Rasullullah s.a.w yang bermaksud: “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia atau baik.” (Musnad Imam Ahmad 2/381). Hadis ini menggambarkan matlamat penurunan Islam ialah untuk memupuk akhlak yang mulia pada manusia dalam menjalani kehidupan di dunia. Oleh itu Rasulullah s.a.w mengungkap agama sebagai akhlak dalam sabda baginda yang bermaksud: “agama ialah akhlak yang baik” (Diriwayatkan oleh al-Mawarzi dalam Musnadnya dalam kitab ta’zim nilai solat daripada riwayat Abu Al-Ala’ al-Shakhir secara mursal). Begitu juga mengungkap bahawa insan yang paling baik agamanya ialah yang paling baik akhlaknya (Muntakhab Kunzu al-‘Ummal dalam nota tepi Musnad Imam Ahmad jilid 1 hlm. 132. Lihat juga kitab adab al-mufrab karangan al-Bukhari hlaman 81). Baginda juga mengungkapkan mukmin yang paling sempurna iman ialah yang paling baik akhlaknya (al-Lu’lu’u wa al-Marjan Fima Ittafaqa alaihi al-Syaikhan jilid 1 hlm. 10 kitab iman).

Walaupun pendekatan yang dibawa oleh al-Ghazali dan Miqdad nampak ada perbezaan, dengan al-ghazali menekankan akhlak adalah sifat dalaman dan Miqdad pula menekankan akhlak adalah aplikasi luaran oleh seseorang insan, sebenarnya kedua-dua pendekatan ini jika diintegrasikan akan menghasilkan satu takrifan akhlak yang kukuh. Ini kerana perlakuan luaran yang dipaparkan oleh insan melalui anggota tubuh badan tidak akan dinilai oleh Islam kecuali ia lahir daripada kesedaran dari dalam jiwa insan yang melakukannya. Justeru Islam tidak mengiktiraf sumbangan-sumbangan kebaikan yang dilakukan oleh orang kafir sebagai amal soleh yang diberikan ganjaran syurga. Beberapa ayat al-Quran telah menyatakan hakikat ini. Antaranya ialah firman Allah yang bermaksud:
‘Amalan-amalan orang kafir adalah umpama fatamorgana yang terdapat di tanah rata yang disangka oleh orang dahaga sebagai air. Apabila dia sampai ke tempat itu dia tidak mendapati apa-apa” (Qaf: 29)
Iaitu tidak ada ganjaran bagi amal kebaikan yang dilakukan oleh orang kafir yang tidak mempunyai asas dalaman yang baik ketika melakukan kebaikan dengan anggota badan lahiriah.

Oleh kerana personaliti telah diertikan sebagai akhlak, dan akhlak merangkumi asas dalaman dan paparan perlakuan luaran maka natijahnya ialah personaliti di dalam Islam juga merangkumi kedua-dua aspek tersebut. Ada personaliti yang berciri dalaman dan ada personaliti yang berciri luaran. Peronaliti yang berciri luaran juga akan kembali kepada personaliti berciri dalaman. Ini kerana personaliti dalaman adalah asas kepada paparan personaliti luaran yang dapat disaksikan oleh pancaindera.

No comments:

Post a Comment